BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 5, 2009

Menjadi remaja menarik

Menjadi individu yang menarik akan membuatkan semua orang di sekeliling berasa selesa dan menyukai diri anda.

MENJADI seseorang yang menarik di mata orang lain merupakan hasrat semua individu terutama remaja. Adakalanya remaja mengambil sikap acuh tidak acuh mengenai daya tarikan diri. Namun, jika mereka merasakan diri tidak disukai orang lain, mereka akan sedaya upaya mengubahnya.

Seorang yang menarik tidak semestinya memiliki wajah yang cantik. Jika seseorang itu menarik dari aspek fizikalnya, tetapi tidak memiliki penampilan sesuai dan kemahiran komunikasi yang baik, dia akan dilihat sebagai individu yang membosankan.

Setiap orang mempunyai daya penarik tersendiri, cuma kita tidak perasan.
Setiap orang juga ada sebab mengapa mereka hendak jadi menarik. Atas sebab itu, banyak syarikat mengaut keuntungan apabila orang ramai membeli barangan mahupun perkhidmatan mereka untuk menjadi menarik.

Sesungguhnya Tuhan menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Jadi, fokuskan perhatian kepada perkara yang boleh kita perbaiki supaya menjadi individu menarik terutamanya dari segi sikap.

GenK menyenaraikan beberapa tip bagaimana menjadi seorang yang menarik di mata orang lain:

1. Sentiasa senyum

Senyum merupakan aset berharga untuk diri anda. Kalau tidak, masakan seseorang boleh jatuh cinta atau disayangi ramai disebabkan senyumannya. Kata orang, senyum itu sedekah. Senyuman membawa 1001 makna. Senyuman yang ikhlas dapat menenangkan hati orang lain. Jika orang tidak senyum pada anda, maka hadiahkan mereka senyuman yang ikhlas.

2. Banyak memberi

Masyarakat menyukai individu yang suka memberi. Sama ada wang, hadiah atau pun pertolongan berbentuk fizikal. Tiada siapa yang suka kepada individu yang hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, belajarlah untuk saling memberi.

3. Berikan pujian

Manusia sebenarnya gemarkan pujian. Jadi, apa salahnya jika kita memberi sedikit pujian. Kata-kata pujian akan membuatkan seseorang berasa dihargai. Percayalah dengan membuat orang lain bahagia, anda juga akan bahagia.

4. Mempunyai prinsip

Mempunyai prinsip hidup merupakan antara ciri penting untuk menjadi individu yang menarik. Lihat Mahatma Gandhi. Beliau merupakan orang biasa dan bukannya seorang hartawan. Tetapi mengapa beliau menjadi individu yang menarik? Sebabnya, Gandhi mempunyai prinsip untuk membebaskan rakyat India daripada cengkaman penjajah.

5. Mempunyai keyakinan diri

Ini penting. Anda mesti mempunyai keyakinan dan percaya terhadap kemampuan diri sendiri. Jika anda tidak percaya pada diri sendiri, mustahil orang lain akan mempercayai anda.

6.Bersikap positif

Jika anda pernah menghadapi krisis atau bertengkar dengan sesiapa sahaja, jangan simpan perasaan benci di dalam hati. Pilihlah untuk berkawan dengannya dan elak daripada bermusuh dengannya dalam tempoh yang sangat lama.

Dendam kesumat yang ada di dalam hati membuatkan anda berfikiran negatif. Dendam akan menarik sifat marah dan panas baran. Sikap itu akan membuatkan sesiapa sahaja kurang senang dengan anda, termasuklah ibu bapa dan adik-beradik.

Untuk menjadi individu yang menarik, bersedia untuk membuang sikap tersebut satu persatu. Pilih yang positif, lupakan yang negatif.

7. Pandai berkawan

Jangan pilih dengan siapa anda mahu berkawan. Jaga hati setiap orang dan anggap semua orang adalah penting.

Setiap individu mahu dihargai. Jadi, untuk menarik minat orang lain terhadap anda, layan mereka dengan baik. Pamerkan kesopanan, jaga pandangan mata (eye contact) dan postur tubuh. Elakkan daripada berpeluk tubuh atau menyilang kaki ketika bercakap.
Selain itu, bergaul dengan sesiapa sahaja kerana ia akan membuat anda bijak untuk menyesuaikan diri dengan semua orang, tidak kira peringkat umur atau bangsa.


Sumber: www.alpha08.wordpress.com/ www.imotivasi.com

0 comments: